Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah












Tuesday, May 3, 2011

Novel Di Sebalik Wajah Tingkatan 2 (Tema dan Persoalan)

Tema

Berdasarkan novel Di Sebalik Wajah,  temanya ialah kegigihan dan kecekalan seorang remaja balar untuk mengharungi cabaran-cabaran dalam  hidupnya. Doktor Fikri dilahirkan sebagai budak balar, iaitu cacat dari segi kulit sehingga dia kelihatan berbeza daripada  budak-budak lain. Sehubungan dengan itu, dia sering dipandang hina dan diejek oleh pelajar lain. Bagaimanapun, Doktor Fikri tidak pernah berputus asa dan sentiasa tabah untuk menghadapi cabaran-cabaran di sekolah, contohnya dia pandai menyesuaikan diri di sekolah baru dan sabar menghadapi tuduhan mencuri serta lain-lain lagi. Atas kasih sayang dan bimbingan ibu bapa, iaitu Cikgu Saiful dan Puan Halipah, Doktor Fikri reda atas takdir tuhan sebagai anak balar tetapi sanggup berusaha untuk mencapai kejayaan dalam kehidupannya seperti sentiasa berjimat cermat, rajin membaca, mempraktikkan ilmu dalam pelajaran misalnya menanam sayur-sayuran dan berniaga. Novel ini membuktikan bahawa kelemahan fizikal seseorang bukan halangan untuk seseorang menuju ke arah kejayaan.


Persoalan

Kasih sayang ibu bapa terhadap anak .  Contohnya Cikgu Saiful dan Puan Halipah sentiasa mencurahkan kasih sayang terhadap anak tunggal mereka. Walaupun Doktor Fikri merupakan anak balar, mereka sentiasa membimbing anak mereka supaya tidak bersikap pesimis dan sabar menghadapi pandangan negatif orang lain.  Cikgu Saiful turut membantu anaknya Doktor Fikri mengutip tahi lembu untuk menanam sayur-sayuran.

Keprihatinan ibu bapa terhadap pelajaran anak mereka. Contoh setiap petang  Puan Halipah akan memeriksa latihan Doktor Fikri dan menanyakan keadaannya di sekolah. Puan Halipah dan Cikgu Saiful sentiasa menemani anak membaca dan memupuk anak mereka supaya mempunyai tabiat membaca.
Ketabahan dalam menerima takdir Tuhan.  Contohnya Cikgu Saiful dan Puan Halipah tabah menerima takdir Tuhan apabila anak mereka mempunyai kecacatan dari segi kulit, iaitu balar. Walaupun pada permulaannya Cikgu Saiful enggan menerima bayi balar sebagai anaknya,  atas nasihat doktor, dia sedar dan menerima anugerah Tuhan. Dia dan isteri memberikan sepenuh kasih sayang terhadap anak mereka.

Kesetiaan kawan dalam kalangan rakan semasa susah dan senang. Contohnya Josy merupakan rakan yang setia kawan. Dialah sahaja yang mempercayai Doktor Fikri ketika Doktor Fikri didakwa sebagai pencuri. Ketika semua rakan telah memulaukan Doktor Fikri yang mencuri buku-buku dan barang-barang pelajar lain, Josy tetap berbual-bual dan menasihatinya .

Kecekalan seorang remaja balar untuk mengharungi kehidupan.  Contohnya, Doktor Fikri sentiasa tabah menghadapi kelemahan fizikalnya dan berusaha gigih untuk membuktikan kebolehannya dalam pelbagai segi, seperti rajin membaca dan menyertai acara lumba lari 1500 meter dalam hari sukan di sekolah.
Tanggungjawab pihak sekolah untuk menangani kegiatan salah laku dalam kalangan pelajar. Contohnya guru disiplin bertindak tegas terhadap kelewatan pelajar, peras ugut, gengsterisme, kecurian dan lain-lain. Pengetua sanggup merotan pelajar yang melakukan peras ugut secara terbuka untuk menegaskan disiplin sekolah.

Kemuliaan hati seorang remaja.  Contohnya Doktor Fikri tidak menaruh dendam dan sanggup meminta ayahnya menjamin Narius yang sentiasa menganiayainya seperti memeras ugut, mencuri basikalnya malah menganiayainya sebagai pencuri. Dia membantu Narius dengan hati yang ikhlas dan sanggup berkawan dengan mereka yang menganiayainya.

Novel Di Sebalik Wajah Tingkatan 2

Sinopsis Keseluhuran:

Di Sebalik Wajah mengisahkan seorang remaja iaitu Doktor Fikri yang cacat kulitnya iaitu balar. Nama Doktor Fikri diberikan oleh bapanya sempena nama seorang doktor yang telah mendoakan keselamatan ibunya sewaktu melahirkannya. Disebabkan nama dankecacatan kulitnya yang balar Doktor Fikri sering diejek dan diketawakan. Namun begitu, dia tabah menerima segala dugaan yang menimpa dirinya. Pertukaran ke sekolah Menengah Kebangsaan Menggatal banyak memberikan pengalaman baharu kepadanya. Josy, Dayang Mahani, Suriani, Sanin dan Aziz dapat menerima kehadirannya di sekolah itu. Mereka berkawan baik sehinggalah Doktor Fikri dianiaya oleh tiga orang murid iaitu Narius, Jais dan Jamadi yang juga sering mengganggu murid lain.

Satu laporan salah laku mereka telah dibuat kepada guru disiplin iaitu Cikgu Wahab. Hal ini
menyebabkan mereka berdendam kepada Doktor Fikri. Narius dan kawan-kawannya meletakkan buku-buku perpustakaan dan beberapa dompet ke dalam beg sekolah DoktorFikri. Guru disiplin telah membuat pemeriksaan mengejut ke setiap kelas. Doktor Fikri telah dipanggil dan disoal siasat namun dia hanya mendiamkan diri. Selepas kejadian tersebut, kawan-kawannya mula menjauhkan diri kecuali Josy yang masih setia memberikan perangsang dan semangat serta memintanya bersabar dengan dugaan yang menimpa.

Semasa sukan tahunan sekolah, Doktor Fikri gagal menamatkan larian 1500 meter dan pengsan. Dia juga kehilangan basikal yang baru dibeli dengan duit simpanannya sendiri. Pada suatu hari seorang murid mengadu kepada Cikgu Wahab bahawa dia ternampak Narius dan rakan-rakannya mencuri basikal doktor Fikri. Hal ini dilaporkan ke balai polis. Narius dan rakan-rakannya ditangkap atas pelbagai kesalahan yang dilakukan. Mereka ditahan di lokap. Jais dan Jamadi dijamin oleh keluarga masing-masing. Narius tidak dapat dibebaskan kerana keluarganya miskin. Doktor Fikri dan bapanya dipanggil untuk mengambil semula basikalnya. Semasa di balai polis, Doktor Fikri ternampak Narius sedang menangis di samping bapanya yang sudah uzur. Doktor Fikri meminta ayahnya menjamin Narius.

Semenjak hari itu, Narius, Jais dan Jamadi insaf dan berubah menjadi baik. Mereka mengaku kepada murid lain bahawa merekalah yang menganiaya Doktor Fikri. Namun, pada masa yang sama, Doktor Fikri berhijrah ke Jepun kerana bapanya bertugas di sana. Setelah setahun, Doktor Fikri dan keluarganya balik bercuti di Malaysia. Kepulangan Doktor Fikri disambut dengan gembira oleh rakan-rakannya. Keluarga Doktor Fikri mengisi cuti mereka dengan bersama-sama mendaki puncak Gunung Kinabalu seperti yang dihasratkan oleh Doktor Fikri.