Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah












Tuesday, May 3, 2011

Novel Di Sebalik Wajah Tingkatan 2 (Tema dan Persoalan)

Tema

Berdasarkan novel Di Sebalik Wajah,  temanya ialah kegigihan dan kecekalan seorang remaja balar untuk mengharungi cabaran-cabaran dalam  hidupnya. Doktor Fikri dilahirkan sebagai budak balar, iaitu cacat dari segi kulit sehingga dia kelihatan berbeza daripada  budak-budak lain. Sehubungan dengan itu, dia sering dipandang hina dan diejek oleh pelajar lain. Bagaimanapun, Doktor Fikri tidak pernah berputus asa dan sentiasa tabah untuk menghadapi cabaran-cabaran di sekolah, contohnya dia pandai menyesuaikan diri di sekolah baru dan sabar menghadapi tuduhan mencuri serta lain-lain lagi. Atas kasih sayang dan bimbingan ibu bapa, iaitu Cikgu Saiful dan Puan Halipah, Doktor Fikri reda atas takdir tuhan sebagai anak balar tetapi sanggup berusaha untuk mencapai kejayaan dalam kehidupannya seperti sentiasa berjimat cermat, rajin membaca, mempraktikkan ilmu dalam pelajaran misalnya menanam sayur-sayuran dan berniaga. Novel ini membuktikan bahawa kelemahan fizikal seseorang bukan halangan untuk seseorang menuju ke arah kejayaan.


Persoalan

Kasih sayang ibu bapa terhadap anak .  Contohnya Cikgu Saiful dan Puan Halipah sentiasa mencurahkan kasih sayang terhadap anak tunggal mereka. Walaupun Doktor Fikri merupakan anak balar, mereka sentiasa membimbing anak mereka supaya tidak bersikap pesimis dan sabar menghadapi pandangan negatif orang lain.  Cikgu Saiful turut membantu anaknya Doktor Fikri mengutip tahi lembu untuk menanam sayur-sayuran.

Keprihatinan ibu bapa terhadap pelajaran anak mereka. Contoh setiap petang  Puan Halipah akan memeriksa latihan Doktor Fikri dan menanyakan keadaannya di sekolah. Puan Halipah dan Cikgu Saiful sentiasa menemani anak membaca dan memupuk anak mereka supaya mempunyai tabiat membaca.
Ketabahan dalam menerima takdir Tuhan.  Contohnya Cikgu Saiful dan Puan Halipah tabah menerima takdir Tuhan apabila anak mereka mempunyai kecacatan dari segi kulit, iaitu balar. Walaupun pada permulaannya Cikgu Saiful enggan menerima bayi balar sebagai anaknya,  atas nasihat doktor, dia sedar dan menerima anugerah Tuhan. Dia dan isteri memberikan sepenuh kasih sayang terhadap anak mereka.

Kesetiaan kawan dalam kalangan rakan semasa susah dan senang. Contohnya Josy merupakan rakan yang setia kawan. Dialah sahaja yang mempercayai Doktor Fikri ketika Doktor Fikri didakwa sebagai pencuri. Ketika semua rakan telah memulaukan Doktor Fikri yang mencuri buku-buku dan barang-barang pelajar lain, Josy tetap berbual-bual dan menasihatinya .

Kecekalan seorang remaja balar untuk mengharungi kehidupan.  Contohnya, Doktor Fikri sentiasa tabah menghadapi kelemahan fizikalnya dan berusaha gigih untuk membuktikan kebolehannya dalam pelbagai segi, seperti rajin membaca dan menyertai acara lumba lari 1500 meter dalam hari sukan di sekolah.
Tanggungjawab pihak sekolah untuk menangani kegiatan salah laku dalam kalangan pelajar. Contohnya guru disiplin bertindak tegas terhadap kelewatan pelajar, peras ugut, gengsterisme, kecurian dan lain-lain. Pengetua sanggup merotan pelajar yang melakukan peras ugut secara terbuka untuk menegaskan disiplin sekolah.

Kemuliaan hati seorang remaja.  Contohnya Doktor Fikri tidak menaruh dendam dan sanggup meminta ayahnya menjamin Narius yang sentiasa menganiayainya seperti memeras ugut, mencuri basikalnya malah menganiayainya sebagai pencuri. Dia membantu Narius dengan hati yang ikhlas dan sanggup berkawan dengan mereka yang menganiayainya.

1 comment: